TAJUK:
SELAMAT BERCUTI SEKOLAH: 3 AKTIVITI BERFAEDAH
Mama Suri masak kari,
Masak bersama ikan duri,
Belajar dari rumah sendiri,
Belajar pula secara kendiri.
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 menyebabkan kita semua tidak dapat bergerak bebas seperti biasa.
Tak tertinggal juga anak-anak kecil dan yang masih bersekolah. Kebiasaannya cuti-cuti begini ada yang bersama keluarga masing-masing meluangkan masa bersama dengan pergi bercuti, berkelah atau keluar bersiar-siar.
Ada sesetengah ibu bapa memang merancang awal waktu cuti bersama keluarga apabila tiba cuti sekolah. Mereka memohon cuti daripada majikan dan membuat tempahan penginapan di luar kawasan kediaman mereka untuk merapatkan hubungan kekeluargaan di samping mengisi waktu cuti anak-anak dengan perkara- perkara yang berfaedah.
Jadi, apabila berlakunya perkara yang kita tidak ingini seperti ini, kita perlu merancang sesuatu perkara lain yang dapat mengisi masa lapang bersama anak-anak. Kita tidak boleh bebas keluar kerana kita semua sedang berjuang untuk memutuskan rantaian COVID-19 dari bumi ini khususnya di negara kita sendiri. Kita mesti jaga kita, dan Allah pasti jaga kita.
Banyak aktiviti yang boleh anak-anak lakukan untuk penuhi aktiviti cuti sekolah selama lebih kurang 2 minggu ini (31 Mei hingga 13 Jun 2021) berikutan kelas Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PdPR) juga dihentikan sementara pada ketika ini.
Antara aktiviti yang anak-anak boleh lakukan adalah seperti berikut:
1. Belajar secara kendiri - Anak-anak boleh gunakan buku aktiviti untuk membuat latihan dan menyemak semula jawapan dengan merujuk jawapan yang diberikan bersama dalam buku aktiviti tersebut. Jika ada persoalan, boleh tanya ayah, ibu ataupun ahli keluarga untuk membantu. Jika tidak, tanyalah guru anda apabila buka sekolah nanti.
2. Ikuti kelas tuisyen - Jika mampu ibu ayah boleh mendaftar anak-anak untuk mengikuti kelas tuisyen secara atas talian. Walaubagaimanapun, akhir-akhir ini banyak kelas tuisyen atas talian secara percuma telah dianjurkan oleh beberapa pihak dan individu. Contohnya Akademi Youtuber Guru Malaysia ada menyediakan tuisyen percuma setiap hari dan setiap minggu sejak Julai 2020 lagi. Kelas ini diadakan secara atas talian melalui saluran YouTube. Untuk mengetahui jadual kelas yang disediakan, anda boleh layari www.akademiyoutuber.com
3. Aktiviti bersama keluarga - Antara contoh aktiviti bersama keluarga yang boleh dilakukan bersama-sama ialah bermain teka-teki, memasak, membuat kek, membuat ais krim Malaysia, menanam pokok, mengemas dan membersihkan rumah dan lain-lain lagi. Malah, aktiviti bersama keluarga tersebut boleh dirakam dan dimuat naik ke media sosial atau disimpan sebagai kenangan.
Sebenarnya, banyak lagi aktiviti yang boleh kita lakukan sepanjang cuti sekolah dan cuti PKP ini. Cukuplah cikgu kongsikan 3 aktiviti yang berfaedah ini sebagai perkongsian pada kali ini. Jika ada cadangan lain, kamu boleh tuliskan di ruangan komen di bawah ini.
Semoga jumpa lagi di lain perkongsian dan selamat bercuti !
